Ranking cecah tahap terburuk

Author: admin  //  Category: Info Sukan

Ranking pasukan bola sepak negara mengalami kejatuhan empat anak tangga iaitu ke-156 dunia dalam senarai terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Kedudukan itu adalah yang paling buruk sejak Januari lalu iaitu pada kedudukan 148, ke-150 pada Februari dan ke-152 bulan lepas.

Ranking terbaru itu juga menyaksikan kedudukan skuad Harimau Malaya lebih rendah berbanding Bangladesh (ke-152) dan Nepal (ke-149), yang dikenali tidak memiliki infrastruktur yang baik dalam sukan tersebut.

Kemerosotan ranking Malaysia berpunca daripada kekurangan perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan.

Cuma apa yang menimbulkan persoalan, walaupun naik 12 anak tangga, Bangladesh tidak terlibat dalam sebarang perlawanan kompetitif yang diiktiraf FIFA sepanjang bulan lalu.

Bukan sekadar Bangladesh dan Nepal yang memiliki ranking lebih baik berbanding Malaysia, beberapa negara yang kurang dikenali dalam dunia bola sepak seperti New Caledonia dan Samoa berada di atas Malaysia iaitu tempat ke-154 dan ke-155.

Di kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia berada pada tempat kelima. Walaupun berjaya memintas negara jiran, Singapura (ke-158) namun kita dipintas Filipina, yang naik ke tangga ke-148 ekoran berjaya mara ke separuh akhir Piala Cabaran AFC bulan lalu.

Vietnam kekal sebagai negara terbaik di rantau ini dengan masih berada di kalangan 100 terbaik dunia iaitu di tempat ke-97 diikuti Thailand (141), Filipina dan Indonesia (151). Bagi benua Asia, Malaysia berada pada tempat ke-27 daripada 46 negara ketika Australia masih gah selaku pasukan nombor satu Asia pada tangga ke-21.

Bagi ranking dunia, Sepanyol masih kekal sebagai pasukan No. 1 diikuti Jerman dan pasukan dari Amerika Selatan, Uruguay.

Ketiadaan sebarang perlawanan persahabatan dengan mana-mana negara sepanjang bulan lalu jelas memberikan kesan besar kepada ranking skuad bola sepak negara yang hanya mengadakan perlawanan persahabatan berdepan skuad bertaraf negeri, Sarawak pada 25 Mac lalu.

Mengikut rekod sepanjang tahun 2012, ranking skuad Harimau Malaya tidak pernah mengalami sebarang kenaikan sejak berada pada tempat ke-148 Januari lalu.

Jatuh dua anak tangga pada Februari, pasukan negara terus turun ke tangga ke-152 pada Mac sebelum berada pada tempat ke-156 bagi bulan ini.

Namun, skuad Datuk K. Rajagobal berpeluang kembali mendaki ranking FIFA menerusi aksi persahabatan dengan Sri Lanka pada 28 April ini.

PIALA AFC : TRG VS TAMPINES ROVERS

Author: admin  //  Category: Info Sukan


Kapten Tampines Rovers, Aleksandar Duric (kiri), Steven Tan (dua dari kiri), Mat Zan Mat Aris dan ketua pasukan Terengganu, Sharbinee Allawee.

 


 

Selepas dibelasah teruk 6-1 oleh Selangor pada saingan Liga Super, Sabtu lalu, Terengganu menjadikan wakil Singapura, Tampines Rovers sebagai mangsa kebangkitan apabila kedua-dunya bertemu pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini, hari ini.

Setelah mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan lalu, Terengganu mempunyai peluang cerah untuk mara ke pusingan kedua sekiranya meraih tiga lagi mata penuh.

Jurulatih skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris mengingatkan pemainnya agar memberi tumpuan penuh pada perlawanan hari ini demi mengembalikan keyakinan diri dan penyokong.

 

TERENGGANU JUARA PIALA KHIR JOHARI

Author: admin  //  Category: Info Sukan


PEMAIN Terengganu meraikan kejayaan muncul juara edisi ke-40 Piala Emas Khir Johari selepas mengalahkan Selangor 2-0 di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak, semalam.

 


 

KUALA LUMPUR – Strategi bertahan dan menyimpan tekong terlebih dulu, membawa Terengganu menjulang Piala Emas Khir Johari buat kali pertama pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Ke-49 di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak, kelmarin.

Skuad bimbingan Ahmad Mohd. Zin membenam juara bertahan, Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir untuk meraih RM5,000 pada kejohanan berpasukan tertua di dunia itu, sekali gus menghampakan hajat lawan untuk mencipta rekod penyandang terbanyak, 12 kali.

Biarpun diheret ke set penentuan oleh Selangor yang dibarisi ramai pemain elit dan bekas pemain berpengalaman antarabangsa, Terengganu tetap kental untuk memenangi kedua-dua regu, (15-10, 11-15, 15-9) dan (15-6, 10-15, 15-12) dalam tempoh 160 minit.

 

TERENGGANU VS KITCHEE HONGKONG

Author: admin  //  Category: Info Sukan

Skuad Penyu yakin benam Kitchee FC

 MUSLIM  (kiri) bersama kapten  Kitchee FC, Chu Sin Kei.

MUSLIM (kiri) bersama kapten Kitchee FC, Chu Sin Kei.

KAPTEN Terengganu, Muslim Ahmad meminta rakan sepasukan fokus dan berwaspada apabila melayan wakil Hong Kong, Kitchee FC menjelang perlawanan kedua Kumpulan F Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang ini.

Walaupun tidak tahu kemampuan pasukan itu, tidak mustahil skuad Penyu melakar kemenangan kedua selepas memulakan langkah kanan pada perlawanan pembukaan mengatasi kelab Vietnam, Song Lam Nghe An, 6 Mac lalu.

HITAM PUTIH NELANG

Author: admin  //  Category: Info Sukan

Penyerang sensasi Abdul Manaf Mamat menjadi wira Pasukan Terengganu apabila meledak dua gol untuk menewaskan Selangor 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kemenangan itu meletakkan skuad Penyu itu kini bagaikan sebelah kaki ke pentas akhir buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun sementara ‘Misi 33′ Selangor mungkin sekadar impian untuk dicapai pada musim ini kerana perlu mencari kemenangan sekurang-kurangnya 3-0 di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Tidak sampai seminit perlawanan bermula, Manaf berjaya mendiamkan 30,000 penyokong Selangor apabila meletakkan Terengganu di depan.

Berpunca daripada hantaran lintang Ashaari Samsudin di sebelah kiri, dia bijak melepasi perangkap ofsaid dan tanpa diduga penjaga gol Selangor, G. Jeevananthan, Manaf tanpa melihat ke arah pintu gol melepaskan sepakan melalui tumit belakang ketika bekas penjaga gol USM FC itu tergamam.

Tersentak dengan gol tersebut, Selangor segera bangkit dalam usaha mendapatkan gol penyamaan tetapi dua percubaan Safiq Rahim, satu melalui percubaan jarak jauh pada minit ke-13 dan tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma jauh melepasi palang gol.

Ketika Selangor leka dalam usaha mencari gol pembakar semangat, Manaf sekali lagi menghukum kerapuhan benteng Red Giants pada minit ke-32 dengan sepakan leret dari jarak 25 meter bagi meletakkan Terengganu semakin kukuh bergelar pendahulu perlawanan.

Jurulatih Selangor, P. Maniam terpaksa membawa keluar Hardi Jaafar pada minit ke-36 dan digantikan dengan Rudie Ramli dalam usaha menghidupkan jentera tengah yang banyak dikuasai pasukan pelawat, namun perubahan taktikal itu tidak memberikan kesan buat Selangor di samping kecekapan Sharbinee Allawee turut menjadi penghalang kepada anak-anak buah Maniam mendapatkan sebarang gol untuk dibawa ke Kuala Terengganu pada separuh akhir kedua.

Peluang terbaik Selangor hadir pada separuh masa kedua di minit ke-51 melalui Bunyamin Omar yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti tetapi mudah ditampan keluar oleh Sharbinee.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Pasukan adik T-Team berhadapan laluan sukar ke perlawanan akhir apabila tewas 2-4 kepada Negeri Sembila 2-4 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Gol-gol T-team dijaringkan oleh Inderaputra Mahayuddin dan Mohamad Norfarhan sementara gol Negeri semibila hasil jaringan Shahurain Abu Samah, Hairuddin Omar dan Kunalan.

MERAH KUNING – KELABU

Author: admin  //  Category: Info Sukan

Terengganu 4 Selangor 0

Berita ini kalau di pantai barat berbunyi -  Terengganu membuat kejutan apabila menewas kan pendhulu liga Selangor 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Mereka cuba menafikan yang pasukan hitam putih itu sebuah pasukan yang handal. Kemenangan Terengganu disebabkan nasib, kemenangan  itu merupakan kejutan yang besar.

Tapi kita pasti tahu kekuatan pasukan Terengganu dan pasti mengiktiraf kemenangan besar itu sebagai kemenangan mutlak. ‘ Story’ yang paling layak ialah Terengganu membelasah pasukan Selangor 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasairuddin Shah malam tadi.

Pendahulu liga itu ternyata lemas dengan asakan-asakan bertenaga barisan penggempur Terengganu Manaf Mamat, Ashaari Shamsuddin, Joseph Kalang dan Firdaus Fauzi.

Sementara barisan penyerang mereka yang diketuai oleh Shafie Sali gagal melepasi pertahanan kental anak buah Irfan Bakti Roni, Helmi, Muhaimin dan Marzuki serta benteng terakhir Sarbinee Alawe.

Gol-gol pasukan hitam putih itu hasil jaringan Manaf  Mamat, Ashaari Shamsuddin (2) dan Joseph Kallang.

Peminat Terengganu tabik dengan kehebatan pasukan mereka yang mengaibkan Seangor sekaligus mejadi pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah pasukan red giant itu.

Mereka berharap prestasi pasukan penyu itu akan terus memuncak  untuk merealitikan impian merebut salah satu daripada tiga kejuaraan musim ini.

TERENGGANU BANGKIT

Author: admin  //  Category: Info Sukan

Pasukan Terengganu meledak 4 gol di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu lalu dengan membelasah Pulau Pinang 4-0.Gol-gol anak buah Irfan bakti itu dijaringkan oleh Firdaus Fauzi, Ashaari Shamsudin, Joseph Kalang dan Manaf Mamat.

Jaringan-jaringan  tersebut pasti memberi kepuasan kepada peminat-peminat setia yang sentiasa datang menyokong pasukan peteh itu.

Kemenangan itu meletakkan Terengganu di tangga kedua di belakang Selangor dengan tujuh mata.

Selasa ini Terengganu akan berhadapan dengan T-Team satu perlawanan adik beradik yang dijangka sengit dan hebat.

T-Team yang longlai di Pahang apabila tewas 1-2 kepada lawan dalam masa kecederaan pasti garang untuk menebus kehampaan mereka sekaligus berusaha melakar kemenangan.

DUA PASUKAN TERENGGANU MASIH TANDUS JARINGAN

Author: admin  //  Category: Info Sukan

Para peminat bolasepak masih belum menyaksikan sebarang jaringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah setelah dua perlawanan yang dilalui oleh dua pasukan Liga Super Terengganu.

Pertemuan pertama antara Pasukan hitam putih  Terengganu menentang Kelantan berkesudahan dengan seri tanpa jaringgan begitu juga T-Team ketika melayan KL Plus berkesudahan seri 0-0.

Malam Sabtu ini Terengganu turun lagi, kali ini berhadapan pasukan Pulau Pinang sebuah pasukan yang tidaklah begitu digeruni. Peminat-peminat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sudah pasti ingin menyaksikan jaringan yang menarik dari pemain-pemain harapan mereka.

Peminat-peminat peteh sekali lagi akan menyaksikan kehebatan penjaga gol Sarbinee Alawe dan mereka juga mengidamkan kelibat hebat penyerang kebangsaan Manaf Mamat merobek gawang lawan.

Terengganu kini memungut empat mata dari dua perlawanan seri tanpa jangan dengan Kelantan dan menewaskan Perak di Ipoh 3-1.

Sementara T-Team hanya mengutip dua mata setelah seri 1-1 dengan Kuala Lumpur dan 0-0 ketika menentang KL Plus.

Sabtu ini T-Team akan berhadapan dengan Pasukan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

LIGA SUPER MUSIM 2010

Author: admin  //  Category: Info Sukan

Kancah Liga Super 2010 bermula Sabtu ini dengan dua pasukan mewakili Terengganu musim ini iaitu Pasukan Hitam Putih Terengganu dan pasukan kelab T-Team.

Terengganu akan membuka tirai bertemu musuh tradisi Kelantan sementara T-Team akan bertandang ke ibu kota untuk berhadapan dengan pasukan warga kota Kuala Lumpur.
Terengganu mungkin lebih selesa menunggu sang kijang di kandang sendiri walaupun pun semua tahu pasukan jiran itu mempunyai ramai bintang seperti Indraputra Muhyidin dan bekas pemain Tererengganu dan T-Team Haruddin Omar.

Miski tanpa bintang pasukan hitam putih di bawah kendalian Irfan Bakti mempunyai kekuatan tersendiri serta moral yang tinggi dengan kehadiran bintang Kebangsaan yang membawa pulang pingat emas sukan SEA Sarbini Alawi dan Manaf Mamat.

Sementara T-Team miski berhadapan pasukan Kuala Lumpur di tempat lawan tetapi rekod kedua pasukan banyak menyebelahi pasukan Kelab Terengganu itu malah kehadiran bekas penyerang pasukan Kuala Lumpur Abdul Hadi akan menambah kekuatan mereka.

Gandingan Abdul Hadi dan Haris Safuan dengan bantuan Rosdi Talib dibahagian tengah pasti memberi kekuatan kepada T-Team untuk mencipta kemenangan sulung mereka malam esok.

Sesungguhnya kemenangan bagi kedua-dua wakil Terengganu amat penting untuk membakar semangat pemain dan terus memikat hati penonton tempatan untuk menyokong mereka.

CABARAN T-TEAM

Author: admin  //  Category: Info Sukan

Barisan pemain pasukan T-Team dijanjikan ganjaran satu lot tanah jika melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said, yang bertindak sebagai pengurus pasukan juga sedia menimbang habuan lumayan lain jika pasukan itu muncul juara Liga Super.

Katanya, habuan itu bersesuaian demi menjaga kebajikan dan masa depan semua pemain iaitu ketika mereka mengejar kejayaan.

“Namun sebelum itu, mereka perlu buktikan dengan membawa pasukan ini mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini,” katanya pada majlis makan malam bersama pemain dan pengurus pasukan T-Team di sini, kelmarin.

Abdul Rahin melahirkan keyakinan T-Team mampu memberi tentangan hebat pasukan dalam Liga Super, walaupun tanpa khidmat penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar yang berhijrah ke Kelantan.

Katanya, harapan pasukan kendalian Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Noor itu akan digalas oleh Mohd. Haris Safwan Md. Kamal yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana, musim lalu.

“Kita tidak perlu bimbang kerana pasukan ini masih memiliki barisan penyerang yang baik. Kita juga ada penyerang baru dari skuad Kuala Lumpur, iaitu Abdul Hadi Yahya yang akan digandingkan dengan Mohd. Haris,’’ katanya.

Selain itu, tambahnya, pasukan itu mempunyai kekuatan seimbang disemua posisi.

Bagaimanapun, Rahin mengingatkan pemainnya perlu sentiasa menanam semangat berpasukan yang tinggi dan memastikan tahap kesihatan terutama stamina dijaga.

T-Team melonjak ke saingan Liga Super musim ini selepas muncul naib juara Liga Perdana, musim lalu.

T-Team musim ini menyaksikan kehadiran tujuh muka baru termasuk empat pemain dari skuad Liga Super Terengganu iaitu Ismail Faruqi Ashari, Shahrul Ezrain Samsudin, Mohd. Shazlan Alias dan Ahmad Shahril Zakaria.

Pengalaman bekas pemain kebangsaan, Rosdi Talib, Syamsuri Mustafa dan Subri Sulong turut ditagih pasukan T-Team dalam misi memburu kejayaan sulung dalam kempen Liga Super musim ini.